Abdul Wahid Omar
Abdul Wahid Omar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, negara akan tetap menerima kesan jika tidak menjadi sebahagian daripada TPPA kerana syarikat luar negara dapat memasuki pasaran tempatan melalui negara jiran Vietnam dan Singapura jika mereka menyertai perjanjian tersebut.

Katanya, dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), syarikat luar dapat masuk ke pasaran domestik.

“Bagaimanapun, kami nasihat supaya orang ramai dapat terus berfikiran terbuka mengenai perkara ini. Kami hanya akan meneruskannya jika ia memberi manfaat kepada negara dan ia masih dalam perbincangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab sesi jaringan Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) kelima di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Datuk Husni Salleh.

Dalam pada itu, Husni berkata, lebih daripada 150 syarikat Teras mengambil bahagian dalam sesi terbabit yang mana ia dianjurkan dalam lima sesi berlainan.

“RHB Bank dan RHB Islamik, Maybank Islamic dan SME Bank berkongsi kemudahan kewangan dan akaun pelaburan pelbagai untuk syarikat Teras melalui kerjasama dengan Teraju,” katanya.

Dalam majlis sama, Teraju menandatangani perjanjian dengan RHB Islamic Bank (RHB) untuk memberi kemudahan sokongan pembiayaan bagi Dana Teras membabitkan tambahan dana berjumlah RM480 juta.