Kumpulan B40 bukanlah golongan miskin tetapi mereka masih mempunyai pendapatan yang belum cukup tinggi untuk membiayai segala keperluan yang mereka kehendaki untuk maju ke hadapan. Justeru, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan per kapita kumpulan terbabit dari RM2,500 sebulan kepada RM5,000 sebulan menjelang 2020.
Untuk mencapai sasaran itu, kerajaan akan meningkatkan kemahiran dan kepakaran rakyat supaya mereka boleh menggunakan kemahiran yang ada bagi menjana pendapatan tambahan. Penguasaan ilmu dan kemahiran akan memberi impak positif kepada rakyat, terutamanya dalam usaha menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam bidang yang diceburi.
Contoh, seorang peniaga kecil-kecilan yang dapat menambah ilmu dan kemahiran dalam bidangnya maka sudah tentu mereka dapat memajukan lagi perniagaan mereka, sekali gus menambah pendapatan.
Untuk menangani kos sara hidup rakyat, kerajaan akan meneruskan inisiatif mengawal dan meringankan kos sara hidup rakyat. Inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini seperti Klinik 1Malaysia (K1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Kedai Rakyat 1Malaysia (R1M), Menu Rakyat 1Malaysia dan pelbagai bentuk inisiatif dan bantuan lain termasuk bantuan pinjaman kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana (perusahaan mikro) akan diteruskan dan ditambah.
Masyarakat Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak juga mendapat perhatian kerajaan. Melalui RMK-11 kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif untuk masyarakat tersebut. Antara langkah penting adalah pemberian hak milik tanah adat (NCR) kepada masyarakat terbabit. Langkah ini diharapkan akan dapat menggalakkan pembangunan tanah dengan cara moden supaya usaha memperkasa ekonomi dan kesejahteraan masyarakat tersebut tercapai.
Cadangan kerajaan untuk pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP untuk pelaburan Amanah Saham Bumiputera 2 adalah inisiatif yang dapat mempertingkatkan pendapatan rakyat. Pelaburan di ASB adalah tidak berisiko rugi, malah dijamin mendapat dividen yang memuaskan. Demikian juga, inisiatif untuk memperkenalkan Indeks Gaji Nasional sebagai petunjuk dan penanda aras untuk majikan menetapkan gaji yang setimpal dengan produktiviti juga akan dapat mempertingkatkan pendapatan rakyat.

Pembangunan infrastruktur
Masyarakat luar bandar juga masih memerlukan kemudahan asas yang lebih baik. Kemudahan asas yang baik dapat memberikan kehidupan yang lebih sejahtera kepada mereka. Justeru, peruntukan yang besar disediakan untuk membangun kawasan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, kerajaan akan membina 3,000 kilometer jalan berturap di luar bandar dalam tempoh 2016 sehingga 2020. Selain itu, akses kepada bekalan air dan elektrik di seluruh negara juga akan dipertingkatkan kepada 99 peratus pada 2020.
Bagi bekalan air bersih dan terawat, kerajaan akan memperuntukkan RM10 bilion melalui projek Bekalan Air Luar Bandar, selain RM3 bilion lagi bagi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang akan memberi impak kepada 40,000 rumah serta untuk tujuan pemodenan aktiviti masyarakat Melayu di perkampungan tradisi terutama nelayan dan petani.
Kerajaan juga akan meneruskan agenda perumahan rakyat yang dimulakan sejak 2013. Di bawah RMKe-11 sebanyak 653,000 unit rumah mampu milik akan dibina, di samping melaksanakan program baik pulih secara besar-besaran rumah-rumah kampung dan luar bandar melibatkan 400,000 buah rumah dengan anggaran kos antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap rumah.

Perlukan kerjasama semua pihak
Dalam usaha melaksanakan segala inisiatif memajukan masyarakat luar bandar, ia bukan sahaja memerlukan komitmen kerajaan pusat tetapi juga memerlukan kerjasama kerajaan negeri, terutamanya negeri yang diterajui pembangkang. Ini penting kerana ada aspek-aspek tertentu berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti hal ehwal tanah. Maknanya, peranan kerajaan negeri penting bagi menjayakan RMK1, khususnya dalam mencapai matlamat negara maju menjelang 2020.
Pastinya kesediaan rakyat untuk menerima perubahan yang akan dilaksanakan nanti di bawah RMK-11 turut menentukan kejayaan RMK-11. Oleh itu, penyertaan rakyat amat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang disenaraikan dalam RMK-11 dapat dimanfaatkan dan dinikmati mereka.
Kesimpulannya, pemusatan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan membangun kawasan luar bandar akan memberi impak kepada peningkatan Indeks Kesejahteraan Malaysia (IKM). Di bawah RMKe-11 kerajaan menyasarkan IKM akan meningkat 17 peratus setahun.
PENULIS ialah Penganalisis Media di Jabatan Penerangan Malaysia.